bisnes

Affin Islamic derma wakaf peralatan perubatan

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) menyumbangkan wakaf peralatan bernilai RM10,000 kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Sumbangan yang disalurkan itu adalah daripada keuntungan pendeposit akaun simpanan kebajikan 'Simpan dan Derma', Affin Barakah Charity Account-i.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Affin Islamic, Musa Abdul Malek berkata, ia adalah sejajar dengan tujuan utama Affin Barakah Charity Account-i iaitu memudahkan pendeposit menyimpan sambil menderma.

"Menerusi akaun ini, ia membolehkan pendeposit membuat simpanan dan pada masa yang sama berpeluang menderma kepada kebajikan.

"Antara sumbangan wakaf yang diberikan hari ini adalah terdiri daripada pelbagai peralatan seperti kerusi roda standard, kerusi roda boleh laras, alat bantu berjalan dan tongkat bahu.

"Setakat ini, 19 badan kebajikan menerima manfaat daripada sumbangan pendeposit Affin Barakah Charity Account-i dengan jumlah terkumpul sebanyak RM259,000.94," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Peralatan Perubatan oleh Affin Islamic Bank Berhad kepada HCTM, di Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja'afar.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Canselor, Prof Madya Ts Dr Faizal Mohamed turut berterima kasih atas sumbangan berkenaan

"Kami melihat ini adalah satu usaha yang baik dan permulaan kepada kami untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Affin Bank.

"Bagi Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kami sedaya mungkin mempelbagaikan lagi produk wakaf bagi membantu masyarakat secara umumnya," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 3:40pm
d