mutakhir

Kilang roti, mi jijik diarah tutup [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kilang roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup berikutan gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM), termasuk penemuan najis tikus.

Pada Op Bersih yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), pengendali makanan turut menggunakan troli bertingkat yang dipenuhi minyak tepu bagi meletakkan adunan roti.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, tindakan itu boleh menyebabkan pencemaran silang sekiranya minyak tepu berkenaan cair apabila roti dipanaskan.

Malah kilang yang beroperasi sejak 50 tahun lalu itu turut didapati menggunakan logo halal yang meragukan pada kotak produk sedangkan mereka tidak memperoleh sijil halal.

"Bukan sahaja kilang berkenaan, malah kebanyakan premis yang diserbu didapati menggunakan logo halal yang meragukan dan perkara ini membimbangkan terutama kepada pengguna Muslim.

"Kita tidak melarang, tetapi ia perlu mendapat kelulusan pihak berwajib dan kita sudah nasihati mereka supaya tidak melakukan kesalahan itu lagi.

"Juga ditemukan najis tikus di bahagian simpanan dulang roti selain di atas plastik pembungkusan. Kita turut arahkan pekerja terbabit supaya tidak lagi menggunakan plastik berkenaan yang dikhuatiri tercemar," katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, serbuan kedua terhadap kilang membuat mi di Jalan Pintal Tali di sini, turut mendapati premis terbabit tidak mematuhi PJKM.

Malah kilang yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut didapati meletakkan makanan yang sudah siap diproses di atas lantai.

"Kita dapati produk mi bagi pasaran Pulau Pinang itu juga tidak mempunyai label dan hanya dibungkus dengan plastik.

"Kedua-dua premis itu pernah diserbu dan diperiksa pada tahun lalu, namun kita hanya memberikan notis kompaun dan amaran.

"Berikutan kedua-duanya terus melakukan kesalahan berulang, kita terpaksa menutup memberi notis penutupan selama 14 hari bagi kerja pembersihan," katanya.

Arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Jabatan Kesihatan negeri turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 kepada kedua-dua premis.

Disiarkan pada: November 24, 2021 @ 2:35pm
d