mutakhir

ATM rampas 1.3 tan daun ketum

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup 1.3 tan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM77,000 ke Thailand di sempadan negara di daerah Padang Terap, kelmarin.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini berkata, daun ketum itu dirampas di laluan menghala ke Batu Sempadan 29/190 sektor OP Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada jam 5 petang.

"Kesemua suspek disyaki bertindak melarikan diri ke dalam kawasan hutan apabila menyedari kehadiran pasukan rondaan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah guni dan bungkusan plastik hitam berada di dalam dua buah pacuan empat roda di kawasan berkenaan.

"Selain daun ketum dan dua kenderaan pacuan empat roda, pasukan rondaan turut merampas empat motosikal, mata wang Malaysia, mata wang Thailand dan telefon bimbit," katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

"Pasukan operasi tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 3:27pm
d