agro

Berhenti kerja bisnes kelulut

Oleh Hidayatidayu Razali

Siapa sangka keputusannya berhenti kerja di bandar Kuala Lumpur sejak 15 tahun lalu dan memulakan kerja di kampung dengan mengusahakan sarang kelulut membuahkan hasil apabila mampu meraih pendapatan lumayan setiap bulan.

Kesukaran untuk memperoleh bekalan madu kelulut yang asli juga memberi ilham kepada Zamri Mat Adam, 47, untuk mengusahakan sarang kelulut.

Hanya bermula dengan satu log sarang kelulut untuk kegunaan sendiri, kini usaha itu semakin berkembang apabila jumlahnya melebihi 100 sarang.

Malah, sarang kelulut yang diusahakan Zamri menghasilkan madu berkualiti tinggi dan mempunyai pelbagai khasiat termasuk untuk kesihatan.

Zamri berkata, pada awalnya, dia langsung tidak terfikir akan berkecimpung dalam perusahaan madu kelulut kerana tidak mempunyai ilmu dalam bidang itu.

Namun kata Zamri, hasil usaha belajar dengan rakan dan beberapa pengusaha lain menjadikan dirinya kini mahir serta turut mengajar orang lain yang mahu mempelajari selok-belok menjaga sarang kelulut.

"Saya tidak menyangka dengan hanya mahu mencuba nasib dalam perusahaan madu kelulut, ia kini memberikan pendapatan bulanan untuk menyara keluarga.

"Ternakan kelulut mula diusahakan sejak 13 tahun lalu sebagai aktiviti mengisi masa lapang sebelum menjadikan perusahaan itu sebagai kerjaya tetap sehingga hari ini," katanya di rumahnya di Kampung Mujur, Bachok, Kelantan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, proses menuai madu dilakukan setiap sebulan menggunakan mesin penyedut khas.

Katanya, setiap bulan, dia mendapat kira-kira 70 kilogram (kg) madu kelulut yang dijual dengan sekitar RM180 sekilogram.

"Madu itu dimasukkan dalam botol sebelum dipasarkan.

"Alhamdulillah, hasil madu kelulut dapat dituai setiap bulan dan hasilnya sungguh memuaskan.

"Ia menjadi pilihan untuk membantu merawat beberapa penyakit seperti batuk dan asma selain dijadikan sebagai makanan tambahan kesihatan," katanya

Menurut Zamri lagi, kelulut miliknya akan mengeluarkan madu setiap bulan kecuali November, Disember dan Januari kerana ketika musim hujan kekurangan bunga menyebabkan kelulut kurang mengeluarkan madu.

Katanya, bagi tempoh sembilan bulan pertama setiap tahun iaitu antara Februari hingga Oktober, hasil madu adalah memberangsangkan kerana pada musim ini banyak bunga dan buah di kawasan sekitar.

"Penghasilan madu bergantung kepada sumber makanan di sekitar sarang, disebabkan itu saya letakkan sarang kelulut di perkarangan rumah dan dalam kebun (di tepi rumah).

"Ia bagi memudahkan saya untuk menjaga dan memantau bagi mengelakkan sarangnya diserang serangga perosak," katanya.

Suami kepada Zalika Ismail, 41, itu berkata, walaupun penjagaan sarang kelulut tidak sesukar mana, namun dia perlu sentiasa memantau kerana jika rosak, ia tidak mengeluarkan hasil.

Untuk itu kata Zamri, sarang kelulut diletak di tempat lebih tinggi menggunakan kayu khas dan barang terpakai.

"Selain untuk mengambil madu, saya juga menjual sarang kelulut itu dengan harga RM450 seunit termasuk kotak kayu ataupun blok kayu.

"Permintaan terhadap sarang kelulut pada masa ini adalah tinggi dalam kalangan golongan muda yang dilihat turut berminat untuk mengusahakannya bagi menghasilkan madu.

"Ini berikutan, madu kelulut boleh dijual dengan harga yang tinggi dan memberi pulangan keuntungan dalam masa beberapa bulan sahaja jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Tambah Zamri, sarang kelulut itu diperoleh daripada beberapa pembekal dan pencari kelulut termasuk dari Kelantan serta beberapa negeri yang lain termasuk Pahang dan Terengganu.

"Pada awalnya saya mendapatkan sarang kelulut dari negara jiran, namun kini agak sukar untuk membawa masuk sarang kelulut dari negara jiran akibat pandemik Covid-19 dan menyebabkan saya mendapatkan dari pembekal tempatan.

"Alhamdulillah, sarang dan madu kelulut semakin mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli. Saya juga menjualnya secara dalam talian dan jika jauh, ia akan dihantar menggunakan penghantar barang," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2021 @ 6:45am
d