Asia

VTL-Darat: Pengembara dari Malaysia wajib jalani ujian RTK

Oleh BERNAMA

Singapura: Semua pengembara yang tiba di Singapura dari Malaysia melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) wajib menjalani ujian pengesanan pantas (RTK) semasa ketibaan, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu hari ini.

"Ia akan berkuat kuasa mulai 8 pagi, 29 November bermula dengan pengembara darat pertama yang tiba di Singapura," menurut kenyataan MTI.

Kementerian memaklumkan langkah itu diambil ekoran perkembangan terbaru mengenai varian baharu Covid-19, B.1.1.529 (Omicron) yang lebih pantas merebak.

"RTK semasa ketibaan membolehkan kami mengurangkan risiko penularan B.1.1.529 ke Singapura dan membolehkan kami memperluas VTL-Land secara beransur-ansur secara selamat dan tersusun," katanya.

Ujian saringan RTK itu akan dilaksana di Woodlands Temporary Bus Interchange dan Terminal Queen Street dan pembayaran RTK perlu dibuat secara e-pembayaran di pusat ujian.

Singapura dan Malaysia melancarkan VTL-Land merentasi Tambak mulai 29 November, untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan.

Kementerian turut mengingatkan semua pengembara untuk membeli tiket bas dan memastikan mempunyai dokumen diperlukan sebelum menaiki bas VTL yang ditetapkan.

Maklumat lanjut VTL-Land Singapura dan Malaysia, boleh didapati di laman sesawang https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview.

Disiarkan pada: November 28, 2021 @ 1:54pm
d