mutakhir

120,000 buruh asing hanya penuhi 30 peratus sektor perladangan

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kira-kira 120,000 daripada lebih 280,000 pekerja asing yang sudah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) terdiri daripada buruh untuk sektor perladangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mereka bagaimanapun hanya menyumbang antara 20 hingga 30 peratus daripada keperluan sebenar terhadap tenaga buruh dalam sektor perladangan negara.

Beliau berkata, pekerja asing berkenaan memang sudah berada dalam negara ini dan majikan lama mereka sememangnya mahu mengambil mereka kembali bekerja.

"Daripada 280,000 ini, 120,000 adalah untuk perladangan. Mereka yang mendaftar ini memang berada di sini.

"Jumlah 120,000 hanya memadai untuk 20 hingga 30 peratus daripada jumlah tenaga kerja yang diperlukan dalam sektor perladangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan melancarkan Pusat Satelit ESD di KLIA, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan masalah lambakan lebih 200,000 pekerja asing yang memohon untuk bekerja semula menerusi Program RTK dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Hamzah dilaporkan berkata, keutamaan diberikan kepada pekerja lengkap menerima vaksin, selain bergantung permohonan majikan di sektor perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

Pada masa sama, Hamzah berkata, biarpun Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini mengumumkan kira-kira 32,000 tenaga buruh asing akan dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sektor perladangan, masih belum ada yang tiba setakat ini.

"Ramai yang keliru di sini. Untuk pekerja perladangan masuk dari luar negara, secara realistik 32,000 ini tidak cukup untuk sektor perladangan.

"Sektor itu memerlukan angka yang lebih besar. Pada waktu ini, kita ada masalah penularan Covid-19 dan prosedur membawa masuk pekerja asing juga diperketatkan," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2021 @ 2:06pm
d