Sukan Lain

Russia tumpaskan Sweden, mara ke separuh akhir Piala Davis

Oleh AFP

Madrid: Pemain nombor dua dunia dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev membantu Russia menumpaskan Sweden untuk mara ke separuh akhir Piala Davis buat kali kedua berturut-turut.

Medvedev mengetepikan pemain nombor 94 dunia, Mikael Ymer 6-4, 6-4 untuk memastikan mata kemenangan.

Russia akan berdepan Jerman esok untuk memburu tempat ke final, tatkala satu lagi aksi separuh akhir diketuai Novak Djokovic apabila Serbia berdepan negara jiran, Croatia.

"Bermain di Madrid seperti beraksi di gelanggang sendiri, kami memenangi banyak perlawanan. Kami semakin yakin selepas dapat menumpaskan tuan rumah (Sepanyol di peringkat kumpulan.

"Esok adalah aksi separuh akhir pertama saya, jadi saya tidak sabar untuk melaluinya," kata Medvedev.

Sebelum itu, pemain ranking kelima, Andrey Rublev berjaya menumpaskan Elias Ymer abang kepada Mikael, 6-2, 5-7, 7-6 (7/3).

"Anda akan berasa tertekan apabila sedar perlu mencatat kemenangan dan pemain lawan tidak ada apa yang harus dirisaukan," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 3:38pm
d