mutakhir

Individu dakwa adik dibuli belum tampil - Hishammuddin [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Individu yang mendakwa adiknya dibuli di sebuah kem tentera belum tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, masyarakat diminta tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi di luar terutama di media sosial.

"Tuan punya badan dari posting (hantaran) awal tak tampil. Tapi ada perkara lain dibangkitkan netizen di luar sana dan saya minta Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz buat siasatan secara peribadi sendiri.

"Dalam hal ini apa yang dipanjangkan kepada kita akan disiasat," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi DSA Exhibition and Conferance Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Menurutnya, orang ramai juga diminta untuk tidak terikut apa yang dibaca di luar.

"Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah," katanya.

Mengulas berhubung penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA'21), beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 6:25pm
d