mutakhir

Kuala Terengganu pula dilanda banjir

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini, diaktifkan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan 13 mangsa banjir membabitkan tiga keluarga, petang hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, pembukaan PPS berkenaan pada 6.30 petang itu menjadikan Kuala Terengganu daerah terbaru dilanda banjir selepas Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Bagaimanapun, katanya, PPS yang diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir di Besut dan Setiu sudah ditutup berikutan keadaan banjir di dua daerah terbabit semakin pulih.

Susulan pembukaan PPS berkenaan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat daripada 26 kepada 39 orang membabitkan lapan keluarga sehingga jam 12 tengah malam ini.

"Dua PPS yang diaktifkan sebelum ini iaitu SK Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan, di Kuala Nerus masih kekal dengan 26 mangsa membabitkan lima keluarga," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 12:32am
d