mutakhir

Varian Omicron tidak jejaskan peralihan ke arah endemik

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kemunculan varian Omicron tidak akan menjejaskan peralihan negara ke fasa endemik meskipun varian itu 10 kali ganda lebih cepat menular berbanding varian Delta.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, bagaimanapun indikator ke arah peralihan endemik perlu ditentukan bukan hanya berdasarkan kes jangkitan harian Covid-19.

"Kita perlu tengok balik macam mana penilaian untuk peralihan endemik ini kerana jika kita mengguna pakai indikator penilaian berdasarkan kes harian Covid-19, memang kita tidak boleh capai ke arah endemik terbabit.

"Namun, kita harus melihat keseluruhan gambaran, indikator kita bukan hanya secara kes harian tetapi juga perlu melihat terhadap kadar kematian, kadar kemasukan hospital serta kadar jangkitan Covid-19 kategori 4 dan 5.

"Terdapat anggaran berapa lama tempoh negara boleh beralih kepada endemik atau tidak, ini termasuk jumlah pesakit yang keluar hospital dan kadar penerimaan dos penggalak.

"Buat masa ini, varian Omicron memang mudah merebak tetapi seperti yang Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) katakan, jangan panik kerana jangkitan kepada pesakit adalah 'mild' (ringan).

"Pada saya, cara paling berkesan mencegah Covid adalah kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga dan amalkan norma baharu termasuk 3S (elak tempat sesak, sempit dan bersembang dekat-dekat)," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, masih ramai yang masih tidak mengetahui mengenai varian Omicron ini, memang jumlah kes jangkitan di seluruh Afrika Selatan, tetapi majoriti bergejala ringan.

Menurutnya, fakta ini juga disokong oleh WHO yang menyarankan agar tidak perlu panik, kerana tidak melihat pesakit yang bergejala teruk setakat ini disebabkan varian Omicron.

"Rata-rata pesakit Covid-19 yang dijangkiti Omicron mengadu keletihan yang teruk selama satu atau dua hari kemudian mendapat sakit kepala dan sakit badan sebelum keadaan mereka bertambah baik.

"Terdapat juga sesetengah pesakit mengalami batuk kering atau tekak gatal tetapi masih ringan.

"Bagaimanapun, langkah berjaga-berjaga sangat penting dalam mengekang penularan walaupun ketika ini ia dikatakan tidak mungkin untuk menyebabkan gejala serius.

"Pengambilan dos penggalak juga penting dan kemasukan individu dari luar negara juga perlu melalui saringan mengikut risiko jangkitan di negara berkenaan.

"Setakat ini, pada saya Malaysia kena memperketatkan perundangan berkaitan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berbanding melakukan pelbagai sekatan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Komuniti harus peka dengan situasi sekeliling dari masa ke masa dan maklumat diberikan oleh pihak berkuasa juga perlu diberikan secara telus agar memberi kesedaran orang ramai untuk lebih berjaga-jaga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 4:00pm
    d