mutakhir

2,870 OKU di Kelantan sudah lengkap vaksin

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seramai 2,870 orang kurang upaya (OKU) di negeri ini lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, ia membabitkan 73.7 peratus daripada keseluruhan 3,892 OKU yang berdaftar.

"Baki seramai 1,022 iaitu 26.3 peratus yang belum divaksin membabitkan 297 OKU yang gagal dihubungi, enggan divaksin (145), menunggu giliran (32) dan selebihnya adalah OKU terlantar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Rozi Muhamad (PAS-Tendong) yang diwakili Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan penyediaan peralatan teknologi kepada semua sekolah dibawah YIK.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia diagihkan secara berperingkat sejak Mei lalu selain turut melakukan semakan bagi memastikan murid berkenaan dapat menggunakan capaian internet.

"Kita juga dalam perancangan dan usaha untuk melancarkan satelit bagi mengatasi masalah capaian internet di negeri ini dengan harga yang murah," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak).

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 4:17pm
d