mutakhir

PGA1 rampas 3 tan daun ketum bernilai RM96,000

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Tiga tan daun ketum dirampas anggota Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA1) Hulu Kinta, Perak malam tadi, ketika ia cuba diseludup ke negara jiran.

Terdahulu, sebuah lori ditahan di Jalan Kuala Kedah sebelum pemeriksaan menemui beg sampah mengandungi daun ketum terbabit.

Penolong Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Ayob Ismail berkata, lori dipandu lelaki berusia 30-an itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan jam 11.45 malam.

"Pemandu lori berasal dari Kubang Rotan, Kuala Kedah. Ketum terbabit pula bernilai kira-kira RM96,000.

"Daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari Padang Terap ke Kuala Kedah sebelum penyeludup menggunakan laluan laut untuk menyeludupnya ke negara jiran," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) hari ini.

Hadir sama Komander Aksem Bukit Kayu Hitam Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah.

Menurut Ayob, sebelum ini, penyeludup menggunakan 'askar semut' yang bermotosikal atau berkereta namun kini, mereka menggunakan kenderaan perdagangan iaitu lori untuk menyeludup daun ketum.

Ayob berkata, sindiket sanggup melakukan apa saja berikutan permintaan terhadap daun ketum semakin meningkat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Disiarkan pada: December 9, 2021 @ 6:31pm
d