Bola Sepak

Nasib Kone bersama skuad Jang masih samar

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Peluang Francis Kone untuk terus kekal beraksi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, masih belum dapat ditentukan lagi.

Francis Kone, 31, yang berasal dari Ivory Coast adalah antara empat pemain import yang beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin musim ini selain Alain Thiery Akono Akono (Cameroon), Arthur Chunha (Brasil) dan Bae Beom Geun (Korea Selatan).

Namun, Thiery Akono, Chunha dan Beom Geun sudah disingkirkan sebaik kontrak mereka berakhir 30 November lalu.

Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari, berkata kedudukan Kone masih dalam perhatian kelab itu, namun sama ada dia akan diserapkan semula dalam pasukan atau sebaliknya, akan diketahui tidak lama lagi.

"Kone boleh disifatkan sebagai individu dalam senarai menunggu. Kita akan lihat dulu dari segala aspek kerana ketika ini kita sedang menilai beberapa pemain import yang sesuai dalam kalangan mereka yang pernah beraksi dalam Liga M.

"Ketua jurulatih (K Devan) sudah mempunyai senarai pemain import yang sesuai dan diperlukan terutama mereka yang tidak disambung kontrak pasukan lama.

"Tetapi perundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan, jadi keputusan mengenainya akan diketahui dalam masa terdekat," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, NSFC tidak bercadang untuk mengurangkan penggunaan kuota pemain import yang ditetapkan sebaliknya akan berusaha mendapatkan lima pemain kerana sedar cabaran dalam saingan Liga Super lebih mencabar.

Menurutnya, pengambilan pemain import yang sesuai juga akan mengambil kira faktor kewangan kelab itu.

"Kita akan tetap berusaha mendapatkan pemain import terbaik bagi memastikan NSFC memiliki kekuatan dan mampu memberikan saingan dalam Liga Super nanti," katanya.

Sementara itu, Firdaus berkata, bekas pemain pertahanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC dan Melaka United FC (MUFC) iaitu Ahmad Khuzaimi Piee, 28, dan Che Rashid Che Halim, 26, antara dua pemain tempatan yang baharu bersama pasukan itu.

Beliau berkata, kedua-dua pemain terbabit sudah menandatangani kontrak semusim bersama NSFC, baru-baru ini.

"Sebelum ini, dua pemain iaitu Mohamad Izzuddin Mohd Roslan dari Perak FC dan Syihan Hazmi dari PJ City FC juga sudah bersama pasukan.

"Kami berhasrat untuk melengkapkan senarai 30 pemain termasuk import sebelum akhir tahun ini bagi membolehkan persiapan seterusnya dapat dilakukan," katanya.

Terdahulu, NSFC menamatkan kontrak 14 pemain termasuk 11 pemain tempatan iaitu R Aroon Kumar, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, Osman Yusoff, Ahmad Tasnim Fitri Mohd, Raja Imran Shah Raja Amin, Danial Hadri Effandi Jagan, Muhammad Alif Romli, Abdul Halim Zainal dan S Deevan Raj.

Dua pemain lain iaitu penjaga gol, Damien Lim pula berhijrah ke Sabah FC dan R Barathkumar (PJ City).

Disiarkan pada: December 12, 2021 @ 8:10pm
d