mutakhir

Pelan Perak Sejahtera 2030 dijangka siap Februari 2022

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 29 Mac lalu dijangka siap pada Februari 2022.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan pembangunan itu dibangunkan berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai.

"Fasa pertama dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi kerajaan. Dua siri bengkel dianjurkan dan pada fasa ini, visi, misi, teras strategik dan nilai bersama dimuktamadkan.

"Fasa kedua pula membabitkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Inisiatif strategik, sub-inisiatif strategik dan pelan tindakan mengikut portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri dihasilkan pada fasa ini.

"Proses pemetaan dan penjajaran pelan-pelan pembangunan sedia ada dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 turut dijalankan," katanya sebagai menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata, penyediaan Pelan Perak Sejahtera 2030 kini berada dalam fasa ketiga iaitu libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah.

"Fasa ini membabitkan pembangunan inisiatif strategik dan program serta pelan tindakan mengikut daerah pentadbiran di Perak.

"Fasa keempat pula membabitkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama 2022," katanya.

Beliau berkata, pelan itu berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosio ekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.

"Oleh itu, pelan ini dibangunkan dengan menggarap pelan sedia ada termasuklah Rancangan Pembangunan lima tahun Malaysia (RMK), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan lain-lain rancangan yang relevan.

"Justeru, pelan ini akan menggariskan strategi yang berpandukan kelebihan dan potensi negeri agar dapat menyokong pengembangan industri tradisional, ekonomi digital, jaminan keselamatan makanan, pelancongan serta memacu kemunculan industri baru seterusnya menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 10:24am
d