mutakhir

Memandu guna lorong kecemasan tular, pemandu lori tangki serah diri

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Pemandu lori tangki yang menggunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan sudah hadir di Balai Trafik Port Dickson, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pemandu berusia 34 tahun itu datang pada 2.45 petang tadi.

"Lelaki berkenaan hadir selepas video rakaman dia memandu di lorong kecemasan yang ditularkan di media sosial mendapat kecaman pelbagai pihak.

"Rakaman video berdurasi 16 saat itu yang merakam sebuah lori tangki menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, tular satu video rakaman berdurasi 16 saat yang dimuat naik ke dalam media sosial Facebook merakam sebuah lori tangki menggunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan.

Aidi Sham berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kelmarin antara 2 petang hingga 4 petang di Kilometer 27 hingga Kilometer 28 lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dari arah Seremban ke Port Dickson.

"Ketika kejadian, keadaan di lebuh raya kenderaan sesak dan polis dapat mengesan sebuah lori tangki yang didaftarkan dengan sebuah Syarikat Pengangkutan beralamat di Bukit Raja Shah Alam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan atau Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 7:50pm
d