mutakhir

Lelaki cemas terkurung di rumah akibat tanah runtuh

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas terkurung di dalam rumah akibat tanah runtuh di Jalan Palinbayan Sungai Penchala, di sini, sebelum diselamatkan bomba malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah malam sebelum anggota polis bertugas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tempat kejadian mendapati seorang lelaki terkurung di dalam salah sebuah rumah yang terbabit dengan tanah runtuh dan diselamatkan oleh anggota bomba.

"Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan jumlah mangsa yang terbabit tidak dapat dipasti.

"Kesemua mangsa sudah berpindah ke rumah saudara-mara dan rakan sekitar Sungai Penchala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam turut menasihati orang ramai sentiasa berwaspada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan tanah runtuh, orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Disiarkan pada: December 19, 2021 @ 5:39pm
d