mutakhir

Cuaca semakin baik, mangsa banjir Kelantan berkurangan [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 3,534 orang membabitkan 1,026 keluarga pagi ini, berbanding 4,298 orang petang semalam, susulan cuaca semakin baik.

Mereka ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir berkenaan membabitkan 2,235 lelaki dan wanita dewasa, 1,299 bayi dan kanak-kanak, 154 warga emas serta 22 orang kurang upaya (OKU).

Jumlah mangsa di Gua Musang berkurangan kepada 793 orang di enam PPS berbanding semalam 2,530 orang. Ini menunjukkan bahawa 10 PPS di Gua Musang juga sudah ditutup.

Mangsa banjir di Kuala Krai dan Pasir Mas bertambah sedikit masing-masing kepada 1,615 mangsa ditempatkan di 29 PPS serta 911 orang di lapan PPS.

Selain itu, mangsa di Jeli berkurangan kepada 114 orang di dua PPS manakala di Tanah Merah terdapat 101 orang di dua PPS.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan melaporkan terdapat tujuh jalan yang masih ditutup iaitu tiga di Kuala Krai dan masing-masing dua di Tanah Merah dan Machang.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Jirat, jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai, Kampung Kuala Hau-Temangan, Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata di Machang serta Jalan Tanah Merah- Kusial-Kampung Ipoh dan jalan ke loji membersih air Bukit Remah di Tanah Merah.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 10:18am
d