mutakhir

Banjir di Terengganu makin pulih

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman.

Setakat jam 10 pagi tadi, sembilan mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, penurunan itu susulan penutupan PPS Surau Kampung Ban Ho dan SK Bukit Mentok masing-masing pada jam 9 pagi dan jam 9.30 pagi tadi.

Semalam, seramai 63 mangsa daripada 13 keluarga berada di tiga PPS di Kemaman.

Bagaimanapun, seramai 39 mangsa yang berada di PPS di Surau Kampung Ban Ho dan 15 mangsa yang ditempatkan di PPS SK Bukit Mentok dibenarkan pulang secara berperingkat berikutan banjir di kawasan kediaman mereka mulai surut.

Sementara itu, paras air sungai di Terengganu mula menunjukkan penurunan kepada paras normal.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman direkodkan melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.20 meter (m) berbanding paras normal 1.4 m.

Bagaimanapun, tiada sungai yang direkodkan berada pada paras amaran dan waspada ketika ini.

Disiarkan pada: December 21, 2021 @ 11:08am
d