mutakhir

Bomba pindahkan 11 mangsa banjir positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Seramai 11 mangsa banjir disahkan positif Covid-19 diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan ketika operasi menyelamat dijalankan sepanjang musim tengkujuh.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, jumlah itu hasil daripada 14 operasi dijalankan di seluruh negeri bermula 17 Disember sehingga hari ini.

Beliau berkata, ia membabitkan lima mangsa di Gua Musang, manakala enam lagi di Pasir Mas.

"Semua operasi menyelamat membabitkan pesakit Covid-19 dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mewajibkan anggota bertugas memakai pakaian pelindung diri (PPE).

"Kita mendapat kerjasama baik dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Khas disediakan di setiap jajahan.

"Setakat ini tiada laporan membabitkan insiden dalam kalangan anggota kerana semua kakitangan JBPM Kelantan sudah bersiap siaga daripada segi fizikal dan mental dalam menggalas tanggungjawab sepanjang tempoh banjir," katanya ketika meninjau penempatan terjejas banjir di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Kampung Tersang antara kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini termasuk Kampung Bawah Lembah, Kampung Pengkalan Rakit, Kampung Gual Sitok dan Kampung Gual To'Deh, di sini.

Zainal turut mengambil peluang bertemu dengan mangsa banjir selain memberi nasihat kepada mereka yang enggan berpindah agar segera ke PPS terdekat kerana khuatir jika air semakin tinggi.

Disiarkan pada: December 21, 2021 @ 8:28pm
d