mutakhir

Lori bawa satu juta batang rokok seludup ditahan

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Penahanan sebuah lori selepas dikejar selama satu jam membawa penemuan muatan rokok seludup dianggarkan bernilai RM750,000 termasuk cukai, semalam.

Terdahulu, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) mengesan kenderaan itu di persimpangan lampu isyarat Kampung Sireh, Kota Bharu dalam keadaan mencurigakan pada 8.15 pagi.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, anggotanya bertindak mengekori kenderaan itu, namun pemandu lori memecut laju sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Selepas kira-kira satu jam mengejar, lori dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun itu berjaya ditahan di atas Jambatan Sultan Ismail Petra, Pasir Mas.

"Hasil pemeriksaan menemui 100 kotak besar mengandungi 5,000 karton rokok putih berjumlah satu juta batang.

"Kesemua rokok seludup dianggarkan bernilai RM750,000 berserta cukai kemudian dirampas untuk siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, hasil soal siasat, pihaknya mendapati semua rokok putih itu cuba dibawa ke Machang sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan serta Lembah Klang.

Menurutnya, rokok seludup itu juga dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan laut dan disimpan di stor sebelum diedarkan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Katanya, pihaknya komited menjalankan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan kontraban di sempadan walaupun tumpuan utama kini kepada operasi banjir.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 2:05pm
d