mutakhir

Yayasan Risda sedia RM300,000 bantu mangsa banjir

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Yayasan Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) menyerahkan bantuan berupa tilam, kotak makanan dan toto kepada pekebun kecil dan penduduk terjejas banjir di Jelebu.

Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sebanyak 1,000 tilam dan jumlah sama bagi kotak makanan dan toto akan diagihkan kepada mangsa terbabit melalui pejabat Parlimen Jelebu.

Beliau berkata, agihan dibuat secara berperingkat dengan pengagihan pertama membabitkan 400 kotak makanan, 150 tilam dan 200 toto.

"Pekebun kecil antara mangsa banjir di Jelebu pada Sabtu lalu dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka.

"Kami sedang mengumpul maklumat berkaitan jumlah sebenar pekebun kecil Risda, namun dianggarkan antara 500 hingga 600 pekebun kecil terjejas," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Sumbangan Yayasan Risda di Kompleks Umno Jelebu, hari ini.

Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias hadir bagi menerima sumbangan berkenaan daripada Mohd Salim.

Mohd Salim berkata, semua sumbangan diserahkan Yayasan Risda itu membabitkan peruntukkan berjumlah RM300,000.

Katanya, lebih kurang 50 peserta Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang terjejas selepas pelbagai peralatan rosak turut akan dibantu selepas maklumat berkaitan diperolehi Risda termasuk jumlah sebenar peserta.

Disiarkan pada: December 24, 2021 @ 10:02pm
d