mutakhir

ATM bantu murid, pelajar ke sekolah naiki bot [METROTV]

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu 26 murid dan pelajar dari Kampung Bemban di sini menyeberangi Sungai Triang menaiki bot bagi memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Ia berikutan jambatan yang menghubungkan kampung itu dengan Kampung Jerang untuk membolehkan murid dan pelajar ke sekolah berhampiran musnah akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Senawang Leftenan Kolonel Isma Zaini Ismail berkata, pihaknya memberi bantuan pengangkutan pergi dan balik bagi memudahkan murid serta pelajar itu ke sekolah masing-masing.

"Anggota dari Batalion Ke-15 RAMD ditempatkan di sini sejak 21 Disember lalu bagi memudahkan penduduk Kampung Bemban berhubung ke Kampung Jerang untuk mendapatkan beberapa kemudahan lain.

"Bagi sesi persekolahan yang bermula hari ini, kami bersiap sedia seawal 6.15 pagi untuk menghantar murid dan pelajar ke sekolah diikuti waktu pulang pada tengah hari nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 12:11pm
d