bisnes

Perodua sedia hab pembaikan di Shah Alam untuk mangsa banjir

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Setakat 10 Januari 2022, sebanyak 1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis Perodua yang terletak di seluruh Malaysia untuk penilaian dengan 323 unit telah dibaik pulih di bawah Program Bantuan Banjir Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya turut menyediakan hab pembaikan di Shah Alam untuk membaiki dan memulihkan kenderaan Perodua yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

"Matlamat kami adalah untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir secepat mungkin kerana kami memahami bahawa pelanggan benar-benar memerlukan kenderaan Perodua mereka untuk kegunaan harian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Bantuan Banjir Perodua meliputi diskaun 50 peratus untuk alat ganti standard, upah kerja percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma melalui nombor Perodua Auto Assist (24 jam) di talian 1800-88-5555 Perodua.

Pelanggan Perodua juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Perodua di talian 1800-88-6600 untuk sebarang pertanyaan am.

Zainal Abidin berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang melancarkan inisiatif Baucar Diskaun Automotif iaitu sebahagian daripada program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan mereka dalam membantu mangsa banjir di saat-saat yang diperlukan.

"Perodua mengalu-alukan inisiatif baharu ini kerana ia mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu rakyat Malaysia," katanya.

Pada 7 Januari 2022, Kementerian Kewangan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 untuk membantu rakyat Malaysia terutama sekali pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Baucar diskaun automotif boleh digunakan untuk membuat tuntutan terhadap pembaikan atau penggantian kenderaan persendirian yang rosak akibat banjir.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, tarikh akhir tuntutan Baucar Diskaun Automotif ialah pada 31 Mac 2022, dan pemilik kenderaan boleh menebus segera baucar di pusat-pusat servis sah bagi syarikat-syarikat automotif yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Potongan terus akan dibuat daripada jumlah kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 5:00pm
d