mutakhir

Kelantan laksana cukai kayu getah mulai 1 Mac

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan kutipan cukai kayu getah dan tanah berimilik berkuat kuasa pada 1 Mac depan.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Abdul Khalim Abu Samah berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa kecil perhutanan pada 25 Oktober lalu.

Katanya, Kelantan menjadi antara negeri yang terlewat memperkenalkan cukai berkenaan berbanding negeri lain.

"Sebelum ini kita sudah bentangkan cadangan pelaksanaan cukai kayu getah kepada jawatankuasa perhutanan negeri tetapi ia ditangguhkan.

"Berbanding dengan negeri lain, Kelantan agak terlewat memperkenalkan cukai ini," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan susulan pelaksanaan kutipan cukai berkenaan, semua aktiviti pengeluaran kayu getah dari mana-mana tanah berimilik perlu dilesenkan dan cukai hanya akan dikenakan bagi mana-mana tanah milik dengan keluasan tertentu.

Terdahulu, mesyuarat jawatankuasa kecil perhutanan Kelantan pada 25 Oktober lalu meluluskan cadangan pelaksanaan pembayaran cukai itu dengan pelaksanaan kutipan dibuat mengikut prosedur pengeluaran lesen pemindah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 2:56pm
d