mutakhir

YBR beri bantuan kewangan kepada 226 mangsa banjir

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Hulu Langat: Seramai 226 mangsa banjir di kawasan ini menerima bantuan kewangan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, inisiatif itu diambil bagi mengurangkan beban mangsa akibat kemusnahan yang dialami mereka dan jumlah keseluruhan sumbangan berkenaan bernilai RM45,200.

"Sehingga kini seramai 500 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Selangor dikenal pasti untuk menerima bantuan kewangan.

"Bantuan sebanyak RM200 ini disumbangkan kepada ahli keluarga yang dikenal pasti terkesan dengan kejadian banjir," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan berkenaan di Kampung Sungai Serai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Mohd Shahrizal berkata, selain bantuan kewangan pihaknya juga dalam perancangan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

"Kita akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi mengenalpasti kawasan yang akan dibersihkan.

"Kita akan bantu, YBR amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat banjir dan diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 2:18pm
d