mutakhir

Tikam di Penampang, ditahan di Limbang

Oleh Juwan Riduan

Penampang: Lelaki yang menjadi buruan polis sejak 10 hari lalu kerana terbabit dalam kes tikam di sebuah pusat hiburan di Penampang Baru, di sini, 4 Januari lalu berjaya ditahan, semalam.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira 11 malam oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Limbang, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama IPD Limbang.

"Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi itu, suspek dipercayai menikam seorang lelaki di belakang bangunan pusat hiburan terbabit dan mangsa berusia 29 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 6:52pm
d