mutakhir

Klinik tawar sijil vaksinasi tanpa suntikan diserbu [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Tujuh individu termasuk pemilik klinik swasta di Gombak ditahan selepas dipercayai mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu menerusi serbuan terhadap klinik terbabit.

Katanya, kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan ringkas yang tular melalui WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati klinik berkenaan mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19.

"Kumpulan ini mensasarkan golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin yang mana klinik akan mengenakan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

"Bagi pelanggan yang tidak mahu disuntik, klinik ini akan membuang vaksin berkenaan dan memulangkan botol kepada KKM sebagai tanda ia sudah digunakan.

"Hasil penelitian pada komputer riba yang dirampas mendapati terdapat 5,601 pesakit yang sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati klinik berkenaan sudah beroperasi dua hingga tiga bulan lalu.

Katanya, pada peringkat awal klinik mengenakan bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap pelanggan bagaimanapun ia diturunkan kepada RM500 berikutan terdapatnya persaingan dari klinik lain.

"Polis kini sedang berusaha mengesan klinik-klinik lain yang turut melaksanakan pengeluaran sijil digital vaksin tanpa suntikan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 4:43pm
d