mutakhir

131 bot nelayan Vietnam sudah jadi tukun tiruan [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Sebanyak 131 bot nelayan Vietnam yang dilucuthak dengan anggaran nilai lebih RM196 juta ditenggelamkan di sepanjang perairan Terengganu bermula 2010 hingga kini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua bot itu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan selain tujuan pelancongan.

"Tahun ini kita menjangkakan untuk melupuskan 35 lagi bot nelayan asing Vietnam yang kini masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Terengganu, PTV Zon Kemaman dan PTV Bukit Datu.

"Penenggelaman bot sebagai tukun ini adalah inisiatif APMM dalam menggalakkan biodiversiti marin serta meningkatkan pelancongan melalui aktiviti rekreasi selam skuba," katanya pada sidang media selepas program pelupusan bot rampasan APMM di perairan Pulau Redang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid.

Sebanyak empat bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam Op Naga Barat dan Op Kuda Laut pada 2020 dilupuskan di kedalaman 18 meter kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Redang.

Dalam pada itu, Muhammad Sufi berkata, aktiviti pencerobohan nelayan asing pada musim tengkujuh berkurangan dan APMM tidak melakukan tangkapan pada musim berkenaan.

Beliau berkata, keadaan berkemungkinan disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) berikutan ia adalah perayaan utama masyarakat negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menjangkakan pencerobohan bot nelayan negara terbabit dijangka kembali meningkat selepas musim perayaan itu.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 5:22pm
d