mutakhir

Lebih 230,000 individu dewasa terima dos penggalak semalam

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 230,020 individu dewasa di Malaysia menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif dos penggalak diberikan kepada populasi berkenaan sebanyak 10,235,759 atau 43.7 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,913,483 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,191,008 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,778,389 individu atau 88.3 peratus sudah lengkap vaksinasi, manakala 2,863,086 individu atau 91 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian menunjukkan sejumlah 234,983 dos vaksin diberikan semalam membabitkan 1,641 dos pertama dan 3,322 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,778,396 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 22 kematian dilaporkan semalam dengan Selangor merekodkan tujuh kes, diikuti Perak dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu manakala di Kedah, Kelantan, Pahang dan Sarawak masing-masing satu kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 10:36am
    d