mutakhir

Nikmati percutian selamat, selesa di Singapura

Oleh Mohammad Asyraf Khalib

PANDEMIK yang melanda dunia sejak dua tahun lalu bukan sahaja menjejaskan banyak sektor ekonomi, malah turut memberi impak besar kepada masyarakat secara global. 

Walaupun kebanyakan negara kini berada dalam fasa pemulihan, kegusaran dan keresahan orang ramai terhadap Covid-19 belum hilang sepenuhnya. 

Namun, disebalik kebimbangan terhadap virus itu, rata-rata rakyat di negara ini teruja apabila Singapura mengumumkan pembukaan koridor perjalanan baharu membabitkan Malaysia.

Tinjauan Harian Metro secara dalam talian, mendapati republik Singapura juga sudah membuat persediaan lebih awal untuk menyambut ketibaan rakyat Malaysia dengan selamat di sana. 

Pencegahan berterusan

Bertindak pantas setanding negara maju lain, Singapura mempamerkan komitmen tinggi dalam program vaksinasi Covid-19. 

Berdasarkan rekod, republik itu berjaya mencapai lebih 90 peratus rekod vaksinasi bagi setiap peringkat umur, menjadikan usaha pencegahan dan pemulihan wabak di negara itu lebih berkesan.

Sebagai langkah keselamatan di pintu masuk negara, pengunjung yang baru tiba dari luar negara perlu menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum dibenarkan menuju ke destinasi percutian. 

Bagi yang memiliki pas Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pula, anda boleh menarik nafas lega kerana Singapura turut mengiktiraf IATA bagi tujuan pengesahan status ujian Covid-19.

Alternatif pengesahan secara digital ini sudah pasti menawarkan kelancaran dan memberi lebih keselesaan kepada pelancong yang berhasrat untuk bercuti di Singapura ketika pasca pandemik.

Proses sanitasi berteknologi tinggi

Selain kawalan ketat di pintu masuk negara, Singapura juga menetapkan standard tersendiri apabila perkakasan berteknologi tinggi digunakan secara menyeluruh bagi tujuan penjagaan kebersihan. 

Sebagai contoh, beberapa lokasi berkepadatan tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dimuatkan dengan kemudahan robot pembersih automatik, penulen udara berkecekapan tinggi (High Efficiency Particular Air - HEPA) dan sistem concierge digital.

Tawaran perkhidmatan serba canggih seperti ini diyakini memberi penjagaan lebih sempurna, menepati piawaian sekali gus menjadi nilai tambah untuk menarik lebih ramai pelancong luar berkunjung ke republik itu. 

Penginapan selamat, selesa

Dari aspek penginapan, Singapura tidak pernah mengecewakan pengunjung dengan tawaran bilik hotel berkelas tinggi pada harga berpatutan. 

Paling menarik, perkhidmatan concierge digital turut diaplikasikan di beberapa hotel terkemuka seperti Hotel Andaz Singapura bagi menawarkan sistem pengurusan hotel lebih selamat dan efisien.

Menerusi inisiatif itu, pengunjung boleh mendaftar masuk bilik, membuat tempahan atau melakukan sebarang pembelian secara digital menerusi telefon pintar sahaja. 

Bagi yang bimbang mengenai kesesakan di tempat tumpuan ramai seperti Supertrees atau Cloud Forest di Gardens by the Bay, anda disarankan membuat pembelian tiket lebih awal kerana sistem pra-tempahan disediakan.

Pihak pengurusan juga sentiasa mengambil berat mengenai keselamatan pengunjung termasuk menyediakan laluan masuk tanpa sentuhan serta memastikan semua tempat awam disanitasi secara berkala. 

Selamat datang ke Singapura

Walaupun kini kehidupan masyarakat di beberapa negara sudah kembali seperti biasa, Covid-19 masih menggerunkan ramai pihak.

Namun, dengan langkah penjagaan yang sempurna, setiap individu berhak menikmati kehidupan lebih baik dan menggembirakan.

Sempena pembukaan koridor perjalanan negara, Singapura kini menjemput rakyat Malaysia untuk berkunjung dan menikmati percutian hebat di sana. 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tempat menarik di Singapura, layari www.visitsingapore.com/en_my.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 4:11pm
d