mutakhir

3 perangkap harimau masih dipasang di Pos Bihai

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan masih memasang tiga perangkap di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, walaupun sehingga kini belum berjaya menjejaki binatang berkenaan.

Pengarahnya, Mohd Hafid Rohani, berkata sehingga kini pihaknya dengan 15 kekuatan anggota masih berkampung di kawasan berkenaan.

"Operasi masih dijalankan dan sehingga kini kita dalam proses menjejaki harimau berkenaan. Namun tiada aduan terbaru daripada penduduk berhubung kedudukan harimau terbabit.

"Bagaimanapun, operasi tetap dijalankan dan kita belum mengadakan perbincangan sama ada mahu mengurangkan kekuatan anggota di lokasi atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan terkini kedudukan harimau di Pos Bihai, Gua Musang yang meragut nyawa seorang penduduk Orang Asli, Januari lalu.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan pembangunan menjadi faktor harimau belang masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 5:36pm
d