mutakhir

Lelaki rentung, MPV terbakar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit dalam kemalangan lalu terbakar di Kilometer 428 Lebuhraya Utara-Selatan dekat susur keluar tol Bukit Tagar arah Selatan, di sini, awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.08 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan sebuah MPV dipercayai dipandu seorang lelaki menghala susur keluar tol Bukit Beruntung.

"MPV itu terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik sebelum terbakar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, bomba melakukan operasi pemadaman dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.

"Mayat mangsa dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa dikenali sebagai Hong Beng Aun, 46," katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 4.15 pagi.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 8:27am
d