mutakhir

Muda bertembung PKR di DUN Larkin

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Ia susulan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan calon parti itu bagi kerusi N44, Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor.

"Kita berikan tempoh masa dan berunding sehingga minit terakhir, Muda sudah tandatangani bersama Amanah dan DAP supaya tiada pertindihan.

"Tetapi PKR umumkan 20 calonnya dan pada masa sama mahu bertanding di 20 kerusi terbabit. Muda cuba berunding sampai minit terakhir. Kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan nasib Muda di Johor.

"Muda tidak umumkan calon awal kerana menghormati PKR dan cuba mencari titik tengah supaya tidak ada pertindihan kerusi. Apabila berlaku (pertindihan kerusi) kita serahkan kepada rakyat Johor untuk membuat keputusan dan beri peluang kepada Muda," katanya pada sidang media memperkenalkan tiga calon Muda di Taman Eco Cascadia, di sini, hari ini.

Selain DUN Larkin, Syed Saddiq turut mengumumkan calon bagi DUN Machap yang akan diwakili R Sangaran dan DUN Parit Raja diwakili Fikri Musa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar masih berteka-teki sama ada beliau bakal bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini atau sebaliknya.

"Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya.

"Di Johor ada 56 kerusi DUN, kenapa Muda tidak mahu bertanding di semua kerusi? Kita cuba bertanding bermula dengan tujuh kerusi di Johor dengan tujuh calon berkaliber dengan latar belakang berbeza dan harap diberi peluang di tujuh kerusi ini.

"Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq, sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 4:52pm
d