Badminton

Beregu campuran negara tersingkir awal

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Hasrat beregu campuran profesional negara untuk melangkah jauh di Terbuka Jerman tidak kesampaian apabila pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Ong Yew Sin-Goh Liu Ying tumpas kepada lawan masing-masing di pusingan pertama sebentar tadi.

Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelapan bermula dengan cemerlang selepas memenangi set pembukaan namun wakil England, Callum Hemming-Jessica Pugh berjaya mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum memenangi set kedua berjaya diteruskan dengan baik oleh Hemming-Jessica sebelum mereka memenangi aksi berkenaan 14-21, 21-13, 21-12 untuk mara ke pusingan kedua.

Sementara itu, Liu Ying yang kali pertama bergandingan bersama Yew Sin selepas berpisah bersama Chan Peng Soon tumpas kepada pasangan Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson.

Jelas Liu Ying masih mencari keserasian dengan Yew Sin apabila lawan hanya memerlukan 26 minit untuk menumbangkan mereka 21-16, 21-13.

Sementara itu, dua lagi pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan turun dalam aksi pusingan pertama esok.

Tang Jie-Yen Wei berdepan tugas sukar apabila perlu berdepan pilihan kelima dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith, manakala Pang Ron-Yee See akan menentang wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 6:49pm
d