Bola Sepak

Liverpool benam Brighton

Oleh AFP

Brighton, United Kingdom: Liverpool mengurangkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana, Manchester City kepada tiga mata selepas jaringan Luis Diaz dan Mohamed Salah menewaskan Brighton 2-0 malam ini.

Diaz membuka tirai jaringan pada babak pertama dan Salah meledak penalti selepas rehat dalam perlawanan di Stadium Amex.

Skuad Jurgen Klopp menang lapan aksi terakhir bagi meneruskan tekanan ke atas City yang akan berkunjung ke Crystal Palace awal pagi Selasa.

Ketika City di kemuncak prestasi, kemampuan Liverpool turut mengagumkan.

The Reds meledak 21 jaringan dan hanya melepaskan dua gol sepanjang tempoh lapan kemenangan mereka selain mengekalkan rekod bersih tanpa bolos buat kali ketiga berturut-turut dalam aksi liga, kali pertama musim ini.

Jaringan penalti Salah menjadikan Liverpool hanya kelab kedua meledak 2,000 gol di Liga Perdana menyamai rekod Manchester United.

Salah turut mengumpul 20 gol Liga Perdana buat musim keempat berturut-turut dengan jaringan ketika menentang Brighton itu tepat pada masanya ketika rundingan kontraknya menemui jalan buntu.

Disiarkan pada: March 12, 2022 @ 10:59pm
d