mutakhir

Dipukul akibat ejek-mengejek

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Remaja berusia 13 tahun cedera dipercayai dipukul dua remaja akibat saling ejek-mengejek dalam kejadian di Taman Gua Damai di sini, 28 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian daripada remaja terbabit pada 31 Januari lalu.

"Susulan itu, polis sudah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

"Kejadian pada 11.30 malam itu berpunca daripada ejek-mengejek di antara dua kumpulan berkenaan. Mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury pada bahagian pipi sebelah kanan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat satu lagi laporan yang dibuat bapa mangsa yang berpendirian untuk tidak mahu meneruskan siasatan.

"Ia berikutan kes berkenaan sudah diselesaikan dengan baik antara pihak yang terbabit.

"Bagaimanapun kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 12:24am
d