mutakhir

Sembilan kenderaan rosak dalam kebakaran

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Sembilan kenderaan musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta di Jalan SS 20/1, Damansara Utama, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.54 petang.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan BBP Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setiba di lokasi, terdapat sembilan kenderaan terbakar dan kerja-kerja pemadaman dilakukan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan mendapati sembilan kenderaan musnah antara 10 hingga 100 peratus.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 7:07pm
d