mutakhir

Perwakilan Kedah cadang Umno tampil muka baru dalam PRU

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Perwakilan Pemuda Umno Kedah mencadangkan golongan pesawah diberikan RM300 ketika musim menuai bagi membantu meringankan beban mereka.

Hayazi Azizan berkata, bantuan berterusan pada setiap musim itu penting bagi memastikan mereka yang mempunyai pendapatan tidak menentu dibantu.

Katanya, dengan cara itu, golongan petani akan terus menyokong kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka.

"Kita cadangkan bagi bantuan kepada petani RM300, depa (mereka) seronok, dan akan terus sokong kita," katanya ketika berucap pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau turut menyentuh mengenai peremajaan parti yang dilaungkan saban tahun oleh pimpinan parti Melayu berkenaan.

Katanya, ia bukan isu baharu, malah sudah didendangkan sejak sekian lama, namun peluang untuk orang muda seolah-olah sama.

"Ketika zaman Datuk Dr Asyraf (Wajdi Dusuki) inilah kita lihat peluang itu ada. Jadi kita minta kepada parti supaya sudah-sudahlah bagi peluang kepada muka sama.

"Macam orang Kelantan makan singgang. Asyik singgang ikan saja, sesekali nak juga makan singgang daging," katanya.

Menurutnya, peremajaan parti perlu direalisasikan dengan segera tanpa meminggirkan golongan terdahulu.

Katanya, sudah tiba masanya diketengahkan calon muda dan muka baru daripada Umno sebagai tawaran kepada rakyat atau pengundi.

"Sebab seingat saya sejak saya mula masuk politik, pemimpin terdahulu sering bercakap soal peremajaan parti. Dari Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 bercakap pasal ini.

"Laratkah kita nak dengar saja. Depa (mereka) duduk dalam Dewan Merdeka di atas pentas, syok. Orang tepuk ribu-ribu orang, dok remaja parti.

"Yang dok ada tu lah. Bos (Dr Asyraf) kena peringat depa (ingatkan mereka) janganlah kita panaskan lauk sedia ada. Kita makan tak sedap dah, kita pun nak lauk baru juga," katanya disambut tepukan perwakilan.

Disiarkan pada: March 17, 2022 @ 4:38pm
d