mutakhir

Seludup migran, 7 lelaki didakwa [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menyeludup migran, awal bulan ini.

Tertuduh, kesemua warga tempatan, Hasim Saini, 50; Mohd Fadhil Zaidi, 29; Royanto Goncing, 61; Borhan Tahir, 58; Alias Omar, 59; Andis Abbas, 53; dan Mamat Mulamat, 45, didakwa secara bersama melakukan penyeludupan 44 migran Indonesia di Road Block Checpoint (RCP) Kalabakan, pada 6.03 pagi, 3 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Akta 670) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Semua tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didapati menggunakan kenderaan masing-masing untuk mengangkut migran berusia antara dua hingga 80 tahun berkenaan dari Kuala Penyu melalui Jalan Keningau - Kalabakan sebelum ke Tawau untuk dibawa menyeberang ke Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula sementara menunggu rekuisisi daripada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk mendapat keizinan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 29, 2022 @ 12:15pm
d