mutakhir

Polis pengiring MB Johor cedera, MPV terbalik

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi: Seorang anggota polis cedera selepas kereta peronda polis (MPV) yang dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 76 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, hari ini.

Difahamkan anggota berumur 32 tahun itu dan rakan setugasnya berusia 42 tahun sedang dalam penugasan mengiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meninjau Ops Carilamat empat penyelam hilang di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pada 9.50 pagi ketika anggota terbabit dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh akibat jalan licin kerana hujan.

"Akibatnya MPV itu terbabas ke kiri jalan dan terbalik. Penumpang MPV bagaimanapun tidak alami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 10:25pm
d