PnP

Tip jual rumah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MENJUAL hartanah terutama rumah bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dengan mudah kerana perlu melalui pelbagai proses.

Ada yang memakan masa berbulan-bulan dan ada juga hingga bertahun lamanya untuk diselesaikan.

Selain dari proses pembelian hartanah memakan masa lama, faktor lain yang perlu diambil kira ialah penawaran pelbagai jenis rumah yang dijual di bawah harga pasaran ketika ini.

Namun, jika anda ingin menjual rumah, ada beberapa tip dan strategi yang boleh dipraktikkan bagi membantu ia cepat dijual.

Antaranya, jual rumah di bawah harga nilai pasaran semasa.

Berdasarkan kajian, rumah yang dijual pada harga di bawah nilai pasaran semasa adalah lebih cepat terjual berbanding dengan kediaman yang dijual pada harga pasaran.

Justeru, perkara pertama yang anda perlu lakukan sebelum mengambil keputusan menjual rumah adalah periksa nilai pasaran semasa rumah.

Jika ragu-ragu, anda boleh menggunakan khidmat penilai hartanah bagi menyemak harga pasaran rumah yang ingin dijual.

Namun, perlu diingat, jangan jual rumah pada harga terlalu rendah kerana selain perlu menanggung kerugian, ia juga akan membawa persepsi bahawa hartanah itu mempunyai pelbagai masalah.

Untuk memastikan proses jualan berjalan lebih lancar, adalah disarankan untuk melantik ejen hartanah berdaftar yang sah bagi menguruskan penjualan rumah.

Sebelum itu, pastikan anda menyemak identiti kad dan periksa kod Real Estate Negotiator (REN) bagi memastikan mereka berdaftar dengan Lembaga Penilai dan Pentaksir Malaysia (LPPEH).

Elakkan mengupah broker haram dan cari ejen yang menguruskan urusan jual beli hartanah di kawasan rumah yang hendak dijual.

Ia lebih mudah jika ada pembeli yang berminat untuk melihat rumah dan sebagainya.

Selain itu, aspek pemasaran secara konsisten juga dapat membantu menjual rumah dengan lebih cepat.

Gunakan teknik atas talian seperti iklankan di portal hartanah atau portal pemasaran di media sosial.

Anda juga perlu rajin menguar-uarkan kepada rakan-rakan dan boleh meminta mereka untuk membantu mendapat pembeli dengan sedikit imbuhan jika berjaya dijual.

Jika ada pembeli berpotensi yang mahu melihat keadaan rumah, ikut kehendak mereka dalam aspek masa dan tarikh pertemuan.

Jangan berkira jika ada bakal pembeli yang mahu melihat hartanah berulang kali sebelum memberi kata putus kerana membeli rumah adalah satu keputusan yang besar dalam hidup.

Adalah lebih baik jika setiap hari ada bakal pembeli yang mahu melihat rumah dan lambat atau cepat proses jualan, bergantung kepada strategi dalam mempromosikan hartanah itu.

Lebih penting, pastikan sebarang kerosakan dalam dan luar rumah sudah diibaiki sebelum diiklankan untuk jualan.

Untuk menzahirkan suasana tenang dan bersih, cat rumah dengan warna asas seperti putih atau krim.

Apa pun, jangan lupa untuk membersihkan rumah secara menyeluruh kerana tiada pembeli yang akan tertarik kepada rumah yang mengalami banyak kerosakan, berbau busuk dan tidak kelihatan bersih.

Disiarkan pada: April 8, 2022 @ 6:50am
d