Bola Sepak

TMJ hadiah set golf buat Farizal

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan saja beruntung ada 'bos' yang prihatin, bahkan sebenarnya tidak lokek memberi hadiah sebagai tanda penghargaan atau pengiktirafan buat pemainnya.

Itulah hakikat sisi sebenar pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang cukup bermurah hati berkongsi kegembiraan dengan pemain skuad Harimau Selatan.

Terbaharu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkenaan menghadiahkan satu set golf kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang baru pulih daripada kecederaannya.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers, Farizal yang dibenarkan pulang ke rumah selepas dikejarkan ke hospital susulan kecederaan di kepala selepas bertembung dengan rakan sepasukan dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC Ahad lalu, tidak menyangka dikejutkan dengan kehadiran Tunku Ismail ke rumahnya.

TMJ yang turut berada di sisi Farizal sepanjang berada di hospital, membuat kejutan dengan melawat penjaga gol kebangsaan itu di rumahnya.

Lebih mengejutkan, Tunku Ismail tidak datang dengan tangan kosong apabila menghadiahkan set golf kepada Farizal yang sememangnya banyak menghabiskan masa terluang dengan bermain golf sebagai hobi keduanya.

"DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT meluangkan masa melawat kapten pasukan JDT, Farizal Marlias di kediamannya.

"Dalam kunjungan itu, baginda turut berbesar hati mengurniakan sebuah set golf kepada Farizal. Luaskan Kuasamu Johor," tulisnya di laman rasmi kelab itu.

Sebelum ini, Farizal mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan Shane Lowry ketika mahu menghalang serangan pemain Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.

Susulan pertembungan itu, Farizal tidak sedarkan diri dan terus dihantar ke hospital berdekatan bagi membolehkan penjaga gol itu mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: April 13, 2022 @ 3:02pm
d