mutakhir

80 peratus lepasan GiatMARA jadi usahawan [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seramai 80 peratus daripada 495,000 lepasan GiatMARA menceburi bidang keusahawanan sejak 36 tahun lalu.

Pengerusi GiatMARA, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, ia membabitkan pelbagai sektor termasuk baik pulih kenderaan, fesyen dan pembinaan.

Malah katanya, ramai dalam kalangan graduan itu berjaya mengembangkan perniagaan yang diceburi sehingga bergelar jutawan.

"Sehubungan itu, kita mahu mereka yang sudah berjaya menjadi mentor kepada pelajar GiatMARA supaya pelatih ini mampu menceburi bidang keusahawanan.

"Malah, kita juga menggalakkan pelajar GiatMARA di 23 cawangan di seluruh negara menceburi bidang keusahawanan, bukannya hanya sekadar menjadi pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan bagi menjejaki usahawan dari GiatMARA di Nasron Hardware, di sini, hari ini.

Abdul Halim turut meluahkan rasa kagum terhadap lepasan GiatMARA yang berjaya dan kebanyakan mereka bermula dari bawah sehingga mampu membina empayar sendiri.

"Sebagai contoh, mereka bermula sebagai pendawaian elektrik bagi projek rumah baharu sebelum membuka kedai perkakasan pembinaan apabila mendapati barang-barang sukar didapati.

"Seterusnya mereka mengembangkan pula perniagaan dengan membina rumah untuk dijual. Apa yang kita lihat, mereka memanfaatkan sebaik mungkin ilmu yang diajar sepanjang di GiatMARA," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2022 @ 6:16pm
d