Bola Sepak

Liga Juara-Juara jadi motivasi Conte

Oleh AFP

London: Antonio Conte berkata, Liga Juara-Juara boleh 'mengubah hidup anda' ketika dia bertekad menguatkan kedudukan Tottenham dalam kelompok empat teratas di Liga Perdana Inggeris.

Spurs boleh menguatkan cengkaman dengan enam mata di atas pasukan di tangga kelima Arsenal sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa jam jika menewaskan Brighton di tempat sendiri esok.

Tottenham yang menang empat aksi liga terakhir menjadi pilihan menduduki tempat keempat dalam carta liga sekali gus layak ke kejohanan utama Eropah musim depan.

Mereka kini tiga mata di depan Arsenal namun sudah beraksi lebih satu perlawanan dan enam mata mengatasi West Ham dan Manchester United.

Conte berkata menonton aksi Liga Juara-Juara minggu ini melonjakkan semangatnya untuk turut terbabit sama.

"Arsenal, United, West Ham, Wolverhampton adalah pencabar kami dan kami akan berjuang sehingga penamat dan kita tunggu apa berlaku pada penghujung musim," katanya.

"Anda tahu Liga Juara-Juara adalah kejohanan yang setiap kelab, pemain dan pengurus mahu beraksi. Oleh itu, sangat penting mencapainya kerana ia boleh mengubah hidup anda jika musim depan beraksi di Liga Juara-Juara berbanding bermain di Liga Europa atau Liga Conference Eropah.

"Situasi ini menyuntik semangat kami dan keinginan tinggi untuk menamatkan musim dengan sebaik mungkin."

Disiarkan pada: April 15, 2022 @ 9:12am
d