mutakhir

Penganggur berdepan hukuman gantung

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Seorang penganggur bakal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama satu kilogram dadah jenis syabu di Jalan Cempaka di sini, jam 10.30 malam Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, suspek yang berusia 41 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika sedang menunggu pelanggan.

"Suspek yang ketika itu sedang menunggu pelanggan duduk di atas motosikal Yamaha Y15ZR.

"Pemeriksaan terhadap motosikal itu menemui beg mengandungi bungkusan plastik berisi syabu bernilai RM36,000," katanya pada kenyataan hari ini.

Shafien berkata, maklumat awal mendapati, suspek berperanan sebagai penghantar dadah dengan menerima sejumlah upah dan aktif sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu selain memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

"Suspek direman sehingga 1 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2022 @ 2:22pm
d