utama

Budak dua tahun ditemukan rentung [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun ditemukan rentung, manakala lima cedera dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 pagi.

Katanya, seramai 18 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, BBP Kuantan dan BBP Indera Mahkota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Empat jentera termasuk dua jentera FRT terbabit dalam operasi terbabit.

"Berdasarkan laporan, kebakaran membabitkan dua rumah jenis semi D separuh kekal, masing-masing hangus 100 peratus dan 90 peratus.

"Enam mangsa terbabit, masing-masing seorang kanak-kanak dua tahun ditemukan rentung, seorang lelaki dewasa melecur 50 peratus dan seorang lelaki pula cedera ringan.

"Dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan turut cedera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu juga membabitkan tiga kenderaan terbakar iaitu satu kenderaan hangus, manakala dua kenderaan mengalami kerosakan teruk.

"Setakat ini, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2022 @ 8:16am
d