utama

Tak mahu masuk pejabat!

Oleh Agensi

New Delhi: Gara-gara tidak mahu kembali bekerja di pejabat, lebih 800 kakitangan sebuah syarikat di India menghantar surat peletakan jawatan sejak dua bulan lalu.

Menurut laporan Inc42, WhiteHat Jr sebuah platform belajar kod yang dimiliki syarikat BYJU'S, meminta kakitangannya kembali ke pejabat dalam masa sebulan.

Keputusan untuk menamatkan kerja dari rumah akibat pandemik Covid-19 diumumkan dalam e-mel syarikat pada 18 Mac lalu.

Ia mengakibatkan lebih 800 kakitangan termasuk pekerja sepenuh masa, bahagian jualan, pengekodan dan matematik memutuskan untuk meletakkan jawatan.

Lebih ramai lagi kakitangan akan berhenti dalam beberapa bulan akan datang.

Seorang daripada kakitangan yang meletak jawatan berkata, tindakan memanggil mereka dalam masa singkat tidak betul.

"Ada yang mempunyai anak, ibu bapa yang berumur dan sakit manakala yang lain mempunyai tanggungjawab lain," katanya.

Katanya, polisi kembali ke pejabat bukan langkah penjimatan kos syarikat kerana mereka mengalami kerugian.

"Syarikat itu jelas mengalami kerugian. Ini adalah langkah mengurangkan kos untuk mengurangkan perbelanjaannya tanpa merosakkan nama mereka dalam pasaran," katanya.

Seorang lagi bekas kakitangan berkata, gaji mereka boleh menjadi satu lagi faktor untuk meletakkan jawatan secara besar-besaran.

Ketika pengambilan, kakitangan dimaklumkan lokasi kerja mereka iaitu sama ada di Gurugram, Mumbai dan Bengaluru.

Bagaimanapun, selepas bekerja dari rumah selama dua tahun, kakitangan beranggapan gaji mereka harus disemak untuk memadankan kos sara hidup di bandar yang mahal.

Sementara itu, dalam kenyataan WhiteHat Jr berkata, kebanyakan kakitangan jualan dan sokongan dipanggil melaporkan diri ke pejabat Gurgaon dan Mumbai mulai 18 April lalu sebagai sebahagian daripada usaha mereka kembali ke tempat kerja.

"Kami membuat pengecualian untuk keperluan perubatan dan peribadi serta menawarkan bantuan penempatan semula seperti yang diperlukan.

"Hanya guru kami akan terus bekerja dari rumah," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2022 @ 6:30am
d