akademia

Cabaran baharu guru

Oleh Suliati Asri

Guru adalah figura yang sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka.

Walau dalam apa juga keadaan, mereka sentiasa memikirkan bagaimana untuk membolehkan segala ilmu dapat dicurah dan disampaikan sebaiknya kepada pelajar.

Ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang beranggapan kebanyakan guru berehat kerana sekolah ditutup tetapi hakikatnya mereka

merasa tidak senang dengan keadaan itu sehingga ada yang tertekan.

Sepanjang PKP, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan dan pastinya semua itu dirasakan tidak mencukupi untuk menyampaikan segala ilmu.

Disebabkan itu, ramai dalam kalangan guru yang tampil dengan bahan PdP sendiri bagi memastikan subjek atau silibus yang disampaikan difahami pelajar.

Ia juga adalah cara guru tersendiri untuk menarik minat pelajar bukan saja mengikuti PdP yang dilaksanakan secara dalam talian tetapi juga untuk memastikan pelajar lebih fokus.

Alternatif guru-guru ini secara tidak langsung menjadikan mereka bukan saja lebih kreatif tetapi juga celik teknologi. Ia sekali gus mengiyakan 'PKP menjadikan guru lebih kreatif dan celik teknologi'.

Hal ini diakui Mohammad Noor Azlan Idris, 46, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar, Baling, Kedah.

Kini lebih dikenali sebagai Ustaz Abah di salurannya sendiri di YouTube dan aplikasi TikTok, beliau bersetuju PKP berjaya mengubah guru terutama dirinya memanfaatkan kemudahan yang dan lebih kreatif serta celik teknologi.

Jujurnya, Ustaz Abah akui sebelum PKP beliau adalah seorang yang 'buta' teknologi dan langsung tidak pernah mengetahui untuk mengedit video apatah lagi menghasilkan bahan pembelajaran dan dimuat naik di media sosial.

"Ketika mula PKP, saya rasa tertekan kerana tidak dapat mengajar. Disebabkan terlalu bosan, dengan bantuan anak sulung sebagai tukang rakam, saya menghasilkan video pertama dan dimuat naik di Facebook saya pada April 2020.

"Alhamdulillah, ramai rakan suka dan gunakan video itu sekali gus menaikkan semangat saya untuk terus menghasilkan video pembelajaran dan mengikuti kelas suntingan (editing) video selepas guru dibenarkan kembali ke sekolah," katanya.

Tanpa ilmu dalam menghasilkan video apatah lagi membuat suntingan, namun dengan niat untuk membantu pelajar memahami pembelajaran yang disampaikan, Ustaz Abah sentiasa berusaha dan cuba yang terbaik.

"Tujuan saya buat saluran Youtube adalah untuk mengajar, menyampaikan maklumat kerana ketika itu sudah tidak tahu kaedah yang boleh digunakan atau dikongsikan.

"Ia juga adalah inisiatif saya sendiri untuk menarik minat pelajar mengikuti kelas yang dilaksanakan secara dalam talian. Alhamdulillah, walaupun pada awalnya saya merasa seperti agak susah tetapi apabila pelajar mula suka dan minat untuk mengikuti kelas serta faham dengan apa yang dipelajari, saya nekad menghasilkan lebih banyak kandungan yang bermanfaat.

Ditanya mengenai guru dan teknologi, Ustaz Abah berkata, kini guru sememangnya perlu menguasai teknologi terutama penghasilan video pembelajaran kerana pelajar kini lebih terdedah dengan teknologi.

Justeru, guru perlu memperbanyakkan kandungan video terutama penghasilan video di Youtube atau TikTok untuk membantu pelajar.

"Dulu, saya adalah seorang yang anti TikTok kerana merasakan ia tidak berfaedah. Tetapi pelajar tetap akan melayari aplikasi itu.

"Jadi, daripada mereka melihat kandungan yang tidak menentu di TikTok, saya berpendapat kenapa tidak saya menghasilkan video dan mereka boleh melihat.

"Teknologi yang pada mulanya dirasakan tidak baik sebenarnya memberi banyak kebaikan dan pendedahan kepada guru. Saya sendiri baru sedar banyak medium pembelajaran yang boleh digunakan," katanya.

Sebagai pendidik terutama dalam era kemajuan teknologi, pelbagai cabaran yang telah dan akan dihadapi.

Justeru, sempena Hari Guru yang diraikan pada hari ini (16 Mei) Ustaz Abah mengucapkan tahniah kepada semua guru kerana berjaya melalui fasa-fasa sukar.

"Sebenarnya guru-guru bila tidak boleh mengajar, perasaan itu sangat tertekan. Tertekan kerana tidak dapat mengajar dan menyampaikan sesuatu pembelajaran itu secara terus kepada pelajar.

"Sebagai contoh, walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sudah dilaksanakan, tetapi sesetengah pelajar tidak memberi respond yang baik.

"Jadi, guru terpaksa memujuk mereka dan caranya adalah menggunakan kreativiti sama ada cara penyampaian atau penyediaan video untuk memancing mereka kembali menumpukan perhatian.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru yang keluar dari kebiasaan dan kreatif dalam mengajar anak bangsa," katanya.

Kepada rakan-rakan guru juga, Ustaz Abah berharap walaupun negara sudah beralih kepada fasa endemik, semua pendidik perlu terus hasilkan kandungan pembelajaran kerana pelajar sekarang ini lebih terbuka dengan ICT, dengan penggunaan telefon dan gajet.

"Kita tidak boleh berhenti atau abaikan. Kita perlu curi peluang, mengambil ruang yang ada untuk memenangi hati pelajar dengan menghasilkan kandungan pembelajaran yang mempengaruhi mereka untuk belajar," katanya.

Sementara itu, bagi ibu kepada tiga orang anak, Azlina Ahmad, 36, berkata, antara hikmah PKP adalah golongan guru sedikit sebanyak dapat melihat betapa perlunya memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid.

Ini kerana katanya, ketika PKP anak-anak melaksanakan PdP secara dalam talian menggunakan platform yang dominan iaitu Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams.

"Sebagai contoh, GC dapat merekodkan kehadiran dan markah tugasan atau kuiz dijalankan kepada pelajar secara digital.

"Dengan itu, guru tidak perlu menyemak sama ada pelajar sudah menghantar tugasan atau tidak kerana sistem GC akan memantaunya dengan menghantar status kepada guru," katanya.

Mengulas mengenai PKP menjadikan guru lebih kreatif dan celik teknologi, kata Azlina, dia bersetuju dengan kenyataan itu kerana padanya banyak kandungan pembelajaran yang dihasilkan guru-guru sepanjang dua tahun lepas.

"Sebagai ibu yang sentiasa ingin membantu anak dalam pelajaran, ada kalanya kita tidak tahu bagaimana untuk menerangkan dan memahamkan anak terhadap sesuatu topik atau soalan.

"Dengan kandungan pembelajaran yang dimuatnaik di platform media sosial terutama saluran Youtube, ia sememangnya sangat membantu.

"Lebih mengujakan, cara penyampaiannya juga lebih mudah difahami dan saya juga turut sama boleh mengulang kaji pembelajaran yang sudah lama ditinggalkan," katanya.

Sebagai seorang ibu, Azlina sentiasa menginginkan yang terbaik buat anaknya dan dengan kreativiti serta inisiatif yang diambil oleh guru-guru di negara ini, dia sangat berterima kasih.

"Buat semua guru di luar sana, terima kasih diatas pengorbanan bukan saja ketika di sekolah tetapi juga sepanjang PdPR dilaksanakan.

"Kesungguhan dan kreativiti guru-guru dalam memastikan pelajar faham subjek yang diajar serta menarik minat mereka untuk mengikuti pembelajaran pastinya tidak terbalas.

"Terima kasih diucapkan dan Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar pendidik," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2022 @ 8:19am
d