mutakhir

Bomba selamat tiga individu, rumah dilanda banjir

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Seorang kanak-kanak dan dua wanita diselamatkan anggota bomba selepas kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam di Kampung Jawa Kerling, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.45 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dan sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kami memindahkan seorang kanak-kanak dan dua individu dewasa.

"Dianggarkan sebanyak 15 hingga 20 rumah di kawasan kejadian terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada penduduk yang keluar lebih awal dari rumah masing-masing.

"Bantuan bot daripada BBP Rawang turut dihantar ke lokasi kejadian," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2022 @ 6:15pm
d