mutakhir

Dua beradik lemas di Sungai Rayu

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Kegembiraan dua beradik beriadah di Sungai Rayu, Matang, di sini, bersama 12 lagi rakan, bertukar tragedi apabila mereka lemas di sungai itu, hari ini.

Dua beradik terbabit, Lee Huai Fen, gadis berusia 17 tahun dan abangnya Lee Jun Suhia, 34, dikatakan bersama rakan mereka ke sungai berkenaan tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat Jun Suhia ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 5.48 petang.

Menurutnya, mayat mangsa kedua pula ditemui pada 6.43 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman di dasar sungai.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.

"Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta enam anggota PPDA dari BBP Batu Lintang dikejarkan ke lokasi," katanya.

Tiong berkata, operasi dilakukan dengan melaksanakan pencarian di permukaan serta penyelaman di dasar sungai oleh anggota PPDA.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 16, 2022 @ 8:04pm
d